KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 – Jumlah aset gerakan koperasi di Wilayah Persekutuan meningkat 9.82 peratus kepada RM24.65 bilion pada 2025, berbanding RM22.45 bilion pada tahun sebelumnya, mencerminkan perkembangan berterusan sektor koperasi sebagai salah satu pemain ekonomi di wilayah berkenaan.
Selain pertumbuhan aset, jumlah perolehan koperasi turut meningkat 4.92 peratus kepada RM7.46 bilion pada 2025 berbanding RM7.11 bilion pada 2024.
Jumlah anggota pula meningkat 5.69 peratus kepada 2.51 juta orang, manakala jumlah syer dan yuran meningkat 1.67 peratus kepada RM9.59 bilion dalam tempoh sama. Bilangan koperasi turut bertambah daripada 1,214 kepada 1,223.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, berkata pencapaian tersebut memperlihatkan kedudukan koperasi Wilayah Persekutuan yang kukuh, khususnya dengan kehadiran banyak koperasi berskala besar yang terlibat dalam sektor perbankan, kredit dan kewangan.
Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan dari sudut kewangan perlu disertai pengurusan yang baik bagi memastikan kekuatan koperasi dapat bertahan dalam jangka panjang.
“Kalau kita lihat, kebanyakan koperasi yang berjaya itu adalah koperasi yang besar dan koperasi yang nampak megah itu sebenarnya berada di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan 2026 (MAGK’26).
Beliau berkata, prestasi koperasi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan saiz perniagaan atau angka perolehan kerana aspek tadbir urus, pematuhan dan pengurusan risiko turut menjadi asas penting kepada kelangsungan sesebuah koperasi.
Malah, katanya, kecemerlangan perniagaan perlu berjalan seiring dengan pematuhan terhadap Akta Koperasi serta peraturan yang ditetapkan.
“A great cooperative does not just adapt to the future; it shapes the future,” katanya.
Menurut beliau, pengurusan risiko perlu dibudayakan dalam operasi koperasi bagi melindungi modal, aset dan kepentingan anggota, khususnya dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi.
Katanya, keberkesanan pengurusan risiko bergantung kepada keharmonian tiga komponen utama iaitu Anggota Lembaga Koperasi, pengurusan dan anggota.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Norihan berkata pencapaian koperasi di Wilayah Persekutuan juga perlu dilihat dalam konteks peranan wilayah itu sebagai pusat kegiatan ekonomi dan kewangan negara.
Menurutnya, sebahagian besar koperasi besar berada di Wilayah Persekutuan kerana faktor kedudukan ekonomi serta kehadiran pemain utama dalam sektor kewangan dan kredit.
Namun, beliau menegaskan prestasi tersebut tidak bermakna sumbangan koperasi di negeri-negeri lain kurang penting kerana koperasi di luar Wilayah Persekutuan memainkan peranan besar dalam sektor seperti pertanian, pelancongan, perkhidmatan serta borong dan runcit.
Sementara itu, 55 koperasi menerima pengiktirafan pada MAGK’26, terdiri daripada 50 koperasi terbaik, dua Koperasi Premier dan tiga penerima Anugerah Khas.
Pengiktirafan itu dinilai berdasarkan faktor kewangan dan bukan kewangan, termasuk pencapaian perolehan, pemilikan aset dan pengurusan kewangan, selain pematuhan perundangan, tadbir urus serta sumbangan koperasi kepada anggota.
Ahmad Norihan berkata pertumbuhan yang dicapai perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar kepada anggota dan tidak sekadar menjadikan koperasi sebagai entiti perniagaan yang mengejar keuntungan.
“Segala kejayaan, saiz kluster dan angka perolehan tidak akan memberi makna jika kita tersasar daripada matlamat utamanya iaitu untuk membela kebajikan dan memfokuskan kepada kepentingan anggota.
“Koperasi wujud dari anggota, oleh anggota dan untuk anggota,” katanya.
TAMAT
SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA
CAWANGAN WILAYAH PERSEKUTUAN
28 OGOS 2026

