DUNGUN – Sebuah kenderaan All-Terrain Vehicle (ATV) mengalami kerosakan teruk selepas dihempap sebatang pokok Rhu yang tumbang akibat dibadai hujan lebat serta angin kencang berhampiran Masjid Lama Kampung Sura (MLKS) di sini pada malam Ahad.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu menyaksikan pokok bersaiz besar tersebut tumbang melintang di laluan utama, tidak jauh dari premis makanan The Ghost Qoffee.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan ATV terbabit hanya diletakkan (diparkir) di situ ketika musibah berlaku.
Menurut saksi di tempat kejadian, orang ramai yang kebetulan berada di kawasan itu segera berganding bahu melakukan kerja-kerja pembersihan awal dengan memotong dahan yang menghalang jalan bagi membolehkan kenderaan terkandas meneruskan perjalanan.
Tidak lama kemudian, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba meneruskan operasi. Seramai empat anggota bergegas ke lokasi untuk membersihkan sisa pokok tumbang menggunakan gergaji rantai (chainsaw).
Susulan insiden cemas itu, penduduk sekitar Komuniti Sura merayu agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan segera mengambil langkah pencegahan sebelum perkara lebih buruk berlaku.
Pengerusi JPKKP Jalan Melati, Hj Mohamad Sahide bin Ibrahim yang mewakili suara penduduk tempatan berkata, deretan pokok tinggi di sepanjang bahu jalan kawasan terbabit kini berada dalam kategori berisiko tinggi untuk tumbang, terutama ketika berdepan musim tengkujuh dan cuaca ekstrem kini.
“Kami amat berharap pihak berwajib turun padang membuat pemantauan serta menebang pokok-pokok yang sudah terlalu tinggi di kawasan ini.
“Laluan ini merupakan jalan utama yang sentiasa sibuk dan menjadi nadi perhubungan orang ramai dari Bandar Dungun menuju ke Universiti Teknologi MARA (UiTM). Ia amat membimbangkan sekiranya kejadian sama berulang dan menimpa nyawa pengguna jalan raya,” tegasnya.

Laporan: BuletinKini

