SEREMBAN – Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes dadah m*ut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Garden Homes, Seremban 2, di sini, kira-kira jam 1.50 petang Ahad.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian itu, termasuk kematian seorang lelaki.
Menurutnya, kejadian berkenaan mempunyai kaitan dengan kes dadah.
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam sidang media oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada jam 11.45 pagi esok,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.
Tinjauan di lokasi mendapati beberapa kenderaan polis berada di kawasan perumahan berkenaan, manakala Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman turut berada di lokasi.
Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dari sebuah rumah kira-kira jam 4.25 petang.
Sementara itu, seorang penduduk, Ali, 70, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh jirannya selepas keluar rumah selepas solat.
Menurutnya, dia turut pernah melihat beberapa kenderaan mencurigakan berada di kawasan kejiranan itu pada minggu lalu.
Katanya, kenderaan terbabit dipercayai berhenti lebih sejam dengan enjin masih hidup sebelum beredar selepas polis tiba.
Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga kenyataan rasmi polis dikeluarkan.
sumber Berita Sinar harian
#NegeriSembilanKiNi

