PUTRAJAYA, 30 September 2026 – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengurusan Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (MERHROM) telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Zafar Ahmad Abdul Ghani mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan memohon untuk dibicarakan. Mahkamah menetapkan 30 Oktober 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dibuat susulan siasatan yang dijalankan oleh Inspektor Sivalingam A/L Sillappan dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terhadap aktiviti MERHROM di media sosial termasuk kenyataan dan penerbitan oleh tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai Presiden MERHROM.
Semakan mendapati MERHROM tidak berdaftar dengan JPPM, manakala tertuduh pula bukan pemegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar menggunakan nama tersebut. Kertas siasatan kemudiannya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum tindakan pendakwaan diambil.
JPPM memandang serius sebarang aktiviti pengurusan, pengendalian atau promosi pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang. Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan-peraturan berkaitan.
JABATAN PENDAFTARAN PERTUBUHAN MALAYSIA
30 SEPTEMBER 2026

