Co-opbank Pertama (CBP) terus memperkukuh komitmennya dalam membudayakan integriti dan memerangi rasuah menerusi Sambutan Hari Antirasuah dan Integriti (HARI) CBP 2026 yang berlangsung pada 30 September 2026 di Dewan Dato’ Yusoff Hilmi, Wisma Co-opbank Pertama.
Program ini menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran serta memperkukuh penghayatan nilai amanah, integriti dan etika dalam kalangan warga kerja CBP. Turut diadakan Adalah forum yang bertemakan “Intergriti Korporat : Antara Tekanan Prestasi dan Prinsip” Dimana panel jemputan merupakan Timbalan Pesuruhjaya,- Mohamad Zakkuan Talib, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Mohamad Zaki Abu Hasan, Timbalan Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan CBP.
Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, penghayatan integriti bermula daripada perkara asas, termasuk membuat keputusan secara bertanggungjawab, menguruskan maklumat dan aset organisasi dengan baik serta menangani konflik kepentingan secara sewajarnya. “Setiap warga kerja CBP perlu mempunyai keberanian untuk menolak rasuah, salah guna kuasa, penipuan, manipulasi serta sebarang bentuk penyalahgunaan aset dan maklumat organisasi.
“Budaya integriti juga menuntut setiap warga kerja agar tidak berdiam diri apabila berhadapan dengan perkara yang tidak wajar, sebaliknya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelakkan masalah yang lebih besar,”katanya ketika menyampaikan ucapan.
Katanya lagi, sebagai sebuah institusi kewangan, CBP memikul amanah besar dalam menjaga kepercayaan anggota dan pelanggan dimana setiap urusan perlu dilaksanakan dengan jujur, telus, profesional dan beretika bagi memastikan kepercayaan yang diberikan terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pembudayaan integriti perlu bermula daripada kepimpinan melalui teladan dan tindakan yang konsisten. Setiap keputusan hendaklah dibuat secara bertanggungjawab, telus serta berlandaskan kepentingan organisasi dan pihak berkepentingan.
“Saya berharap agar HARI CBP 2026 dapat menyemarakkan kesedaran, memperkukuh komitmen dan menyatukan seluruh warga kerja dalam usaha membina budaya kerja yang lebih berintegriti,”katanya.

