PONTIAN, 8 Oktober – Hasrat tiga beradik untuk melihat sendiri keadaan sekolah yang ditutup susulan jerebu bertukar duka mendalam apabila kesemua mereka terkorban dalam kemalangan jalan raya berhampiran kediaman keluarga mereka di Jalan Parit Haji Sirat, Kampung Parit Haji Siraj, awal pagi Khamis.
Nahas yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu meragut nyawa Nor Daniel Aiman, 18, serta dua adiknya, Nor Daniel Fikri, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8.
Menurut ibu mangsa, Julaiha Munaji, 43, beliau sebelum itu sudah mengingatkan anak-anaknya agar tidak perlu ke sekolah memandangkan sesi persekolahan telah diumumkan tutup. Namun, dua adiknya berkeras mahu pergi, menyebabkan si abang, Nor Daniel Aiman, mengambil keputusan menaiki motosikal untuk menghantar mereka bagi membuktikan keadaan sebenar premis persekolahan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berhampiran menunjukkan motosikal yang dinaiki tiga beradik itu tiba di hadapan pintu pagar sekolah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka. Selepas mengesahkan pintu sekolah berkunci, mereka terus berpusing balik untuk pulang.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang dan hanya berada kira-kira 200 meter dari rumah, motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori. Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tiada Perubahan Sikap, Sempat Basuh Kasut dan Siapkan Kerja Sekolah
Mengimbas kembali detik sebelum kejadian, Julaiha memberitahu tiada sebarang kelakuan aneh yang ditunjukkan oleh anak-anaknya. Anak-anaknya sempat membasuh kasut sekolah untuk kegunaan bermain bola pada sebelah petang, manakala si bongsu pula tekun menyiapkan tugasan sekolah pada malam sebelum kejadian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussian mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kronologi serta punca nahas.

