SEREMBAN: Seramai 14 individu, termasuk dua wanita tempatan, ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel berhampiran sebuah sekolah rendah di Kampung Melayu Panchor, di sini, pada 9 Oktober lalu.
Kegiatan itu terbongkar selepas rakaman video yang tular menunjukkan sekumpulan lelaki mencuri kabel pada waktu siang tanpa menghiraukan orang awam yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.
Malah, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan empat kenderaan, termasuk sebuah Mercedes-Benz dan kenderaan pacuan empat roda, ketika melakukan kegiatan itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kejadian itu disedari orang awam kira-kira jam 12 tengah hari.
Menurutnya, susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Cawangan Risikan Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan Op Lusuh di Labu dan Nilai, Negeri Sembilan serta Dengkil, Selangor, pada hari sama.
“Dalam operasi itu, kami menahan 12 lelaki dan dua wanita berusia antara 22 hingga 67 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel berkenaan.
“Polis turut merampas lima kenderaan, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memotong dan mencuri kabel, tiga guni wayar tembaga yang telah dibakar serta pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Semua suspek direman sehingga hari ini.
“Penahanan mereka membolehkan polis menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel di Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Selangor, Kedah dan Melaka,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerusi talian 06-6033222.

