PUTRAJAYA – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP 31) di Antalya, Türkiye. Berteraskan pendekatan menyeluruh negara, penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim global selari dengan matlamat pembangunan mampan domestik.
Persidangan tahunan yang menghimpunkan negara-negara anggota bagi membincangkan tindakan kolektif menangani perubahan iklim di peringkat global ini berlangsung dari 9 hingga 20 November 2026 di Antalya, Türkiye. Persidangan tersebut turut melibatkan penyertaan wakil Kerajaan, pertubuhan antarabangsa, institusi kewangan, dan pelbagai pihak berkepentingan.
Penyertaan Malaysia pada tahun ini adalah bagi meneruskan komitmen negara di bawah Perjanjian Paris di samping memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun. Perkara utama yang ditekankan merangkumi pembiayaan iklim yang mencukupi dan mudah diakses, adaptasi dan daya tahan terhadap perubahan iklim, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti, pengurangan pelepasan gas rumah kaca, serta prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam pelaksanaan tindakan iklim global. Delegasi negara yang melibatkan wakil daripada pelbagai Kementerian, jabatan, dan agensi akan mengambil bahagian dalam mesyuarat rundingan rasmi UNFCCC, mesyuarat dua hala, dan sesi libat urus di peringkat antarabangsa.
Kemuncak penyertaan negara adalah pada 17 November 2026, di mana Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia yang menegaskan pendirian Malaysia berhubung keperluan tindakan iklim yang adil, inklusif, serta mengambil kira keutamaan pembangunan negara. Melalui penglibatan ini, Malaysia berhasrat memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN dan rakan global untuk meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan rendah karbon, teknologi hijau, dan pelaburan mampan.
Sebagai platform untuk mengetengahkan pencapaian, dasar, dan inisiatif negara dalam menangani perubahan iklim, Malaysia melalui NRES dan agensinya, Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC), turut menyediakan Pavilion Malaysia di ruang persidangan tersebut. Membawa tema “Climate Action Now: Driving Resilient Growth”, pavilion Malaysia menekankan bahawa tindakan iklim mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, inovasi, dan pelaburan mampan. Pelaksanaannya menampilkan 49 program yang merangkumi tujuh kluster utama dengan penglibatan tujuh Kementerian serta Kerajaan-Kerajaan Negeri sebagai rakan strategik.
Pavilion Malaysia juga berfungsi sebagai jambatan kerjasama antarabangsa dengan menyediakan ruang bagi sesi dialog, perkongsian kepakaran, mesyuarat dua hala, dan penerokaan peluang pelaburan bersama rakan strategik dari ASEAN dan negara-negara lain. Majlis Perasmian Penutupan Pavilion Malaysia akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang dijadualkan pada 19 November 2026.
NRES meletakkan harapan agar hasil penglibatan delegasi Malaysia di COP 31 akan mempercepatkan penyelarasan komitmen iklim antarabangsa ke dalam dasar domestik, terutamanya melalui kerangka Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) yang akan datang. Rundingan teknikal dan kewangan di persidangan ini adalah signifikan bagi menyokong trajektori negara ke arah unjuran puncak pelepasan gas rumah kaca antara tahun 2029 dan 2034, seterusnya menjayakan sasaran ekonomi rendah karbon dan sifar bersih pada masa hadapan.

Laporan: BuletinKini

