KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara Terbuka Denmark 2026 semalam, selepas bangkit mengatasi tempoh sukar akibat kecederaan dan pelbagai cabaran sepanjang tahun ini.
Bagi Pearly, kemenangan itu cukup istimewa kerana beliau dan Thinaah berjaya mengharungi pelbagai dugaan bersama sebelum kembali menjejakkan kaki ke podium tertinggi. Mereka menewaskan pasangan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita dalam perlawanan akhir untuk merangkul gelaran berkenaan.
Pearly berkata, kejayaan itu membawa makna besar buat mereka berdua dan menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh serta meningkatkan prestasi pada kejohanan akan datang.
“Saya sangat gembira dapat melalui semua ini bersama Thinaah dan berdiri di podium tertinggi hari ini (semalam). Ia sangat bermakna buat kami. Seperti yang saya katakan, saya tidak mahu berhenti setakat ini. Kami mahu terus maju dan memperbaiki diri,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi meyakinkan apabila menundukkan Suzuki-Yamakita dengan keputusan 21-18, 21-11 dalam masa 36 minit.
Kemenangan itu mengesahkan kejuaraan buat pasangan negara berkenaan selepas mereka mengharungi saingan sengit pada set pertama sebelum menguasai permainan pada set kedua.
