SERI MANJUNG – Khazanah warisan seni dan budaya negara perlu dipelihara serta dihayati dalam amalan harian masyarakat, terutamanya golongan muda, bagi memastikan ia tidak ditelan zaman di tengah-tengah kebangkitan era teknologi.
Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel (Bersara) Datuk Shaharudin Nazari berkata, warisan budaya bukan sekadar khazanah sejarah, malah ia merupakan amanah yang memegang nilai murni, hikmah, serta ikhtibar nenek moyang dalam membina jati diri bangsa.
Menurut beliau, kepelbagaian seni seperti puisi, lagu rakyat, dan cerita tradisi memegang peranan penting sebagai medium penyampaian nasihat dan nilai kemanusiaan sejagat yang wajar diwarisi generasi berikutan.
“Kemajuan teknologi dan ilmu pengetahuan wajar dikejar setinggi mana sekalipun, namun jangan sampai meminggirkan akar budaya sendiri. Sebaliknya, jadikan pembangunan moden sebagai platform untuk mengenalkan budaya tempatan di pentas dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Malam Kalam Warisan yang diadakan bersempena dengan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 di Dataran MADANI Seri Manjung.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff.
Shaharudin turut merakamkan bahawa pemilihan Daerah Manjung sebagai tuan rumah PULARA 2026 membuka ruang besar kepada penduduk tempatan untuk mempromosikan keunikan seni kraf, makanan tradisional, serta kebudayaan khas Negeri Perak.
Beliau turut memuji inisiatif program seperti PULARA Masuk Kampung dan Titian Budaya yang menyatukan dunia akademik universiti bersama komuniti akar umbi, sekali gus merapatkan hubungan sosial dan menyuburkan apresiasi budaya tempatan.
Di samping itu, penganjuran festival bertaraf antarabangsa ini dilihat mampu merancakkan sektor pelancongan budaya serta ekonomi setempat. Beliau berharap usahasama antara pihak universiti, penggiat seni, dan komuniti terus dipupuk demi kelangsungan warisan bangsa pada masa depan.
Acara berkenaan turut disemarakkan dengan persembahan bakat muda Shasha, tokoh akademik dari Azerbaijan Prof. Dr. Habib Zarbaliyev, Dr. Zabidin Ismail, Ustazah Sharifah Khasif, serta penyanyi tersohor Man Bai.


Laporan: BuletinKini.com.my

