PONTIAN, 7 November – Barisan kepimpinan UMNO Bahagian Pontian yang diketuai oleh Ketua Bahagian, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, telah tampil memfailkan laporan polis rasmi berhubung isu kelewatan serta penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Tindakan perundangan di peringkat akar umbi itu dibuat di Balai Polis Benut kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, sambil disaksikan oleh Ketua Balai Polis Benut, Sub Inspektor Norazli Saleh.
Sesi pemfailan laporan berkenaan turut disertai oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Wira Mohd Sumali Reduan, bersama Naib Ketua Bahagian, Jamaludin Abd Majid, serta barisan kepimpinan parti tempatan.
Ahmad mengutarakan ketidakpuasan hati pihak parti berhubung penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah terbabit yang didakwa berlaku tanpa sebarang alasan kukuh, sedangkan segala syarat perundangan serta pembayaran denda RM50 juta telah pun disempurnakan.
Langkah itu menyusul selepas pihak Istana Negara mengeluarkan kenyataan rasmi yang menegaskan bahawa Titah Perintah Pengampunan Bersyarat oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim adalah bersifat jelas dan tidak mengandungi sebarang kekeliruan tafsiran.
Sehubungan itu, pihak UMNO Pontian mendesak agar perintah berkenaan dilaksanakan secara serta-merta tanpa sebarang halangan pentadbiran, di samping memohon tindakan tegas mengikut lunas undang-undang diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengingkari titah Seri Paduka Baginda.
Laporan: BuletinKini

