Yab Dato’ Sri Diraja Haji WAN Rosdy Bin WAN Ismail
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang
Umno Pahang Zahir Kesyukuran, Junjung Kasih Atas Keputusan Lembaga Pengampunan
18 September 2026
- Saya bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas keputusan Lembaga Pengampunan yang diumumkan pada hari ini berhubung permohonan pengampunan YH Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
- UMNO Pahang dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan Baginda dalam perkara ini.
- UMNO Pahang turut merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang atas segala doa, keprihatinan dan usaha Baginda sebelum ini berhubung perkara tersebut. Segala perhatian dan keprihatinan Baginda amatlah dihargai dan akan sentiasa dikenang dengan penuh rasa hormat dan kesyukuran.
- Sesungguhnya, perkembangan ini membawa kelegaan yang amat besar kepada Dato’ Sri Najib dan keluarga, serta disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh keluarga besar UMNO Pahang.
- UMNO Pahang turut menyambut baik kenyataan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, berhubung inisiatif melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu Dato’ Sri Najib melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan.
- Sehubungan itu, UMNO Pahang akan turut memberikan sumbangan kepada tabung berkenaan sebagai tanda kebersamaan dan solidariti terhadap inisiatif yang diumumkan oleh Presiden UMNO.
- Pada masa yang sama, UMNO Pahang mengalu-alukan ahli-ahli UMNO di seluruh negeri Pahang yang berhasrat untuk turut menyumbang agar dapat berbuat demikian secara sukarela dan seikhlas hati melalui UMNO Bahagian masing-masing. Segala urusan kutipan dan penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
- Saya menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Pahang agar menyambut perkembangan ini dengan penuh kesyukuran, sentiasa menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan.
- Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang serta memelihara keamanan, kestabilan dan keharmonian negara yang kita cintai.
Daulat Tuanku.
YAB DATO’ SRI DIRAJA HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang

