DAMANSARA DAMAI, 29 September 2026 – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan filem The Fox King (Semusim Lara) dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia untuk dipertimbangkan dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa (International Feature Film) pada Anugerah Akademi ke-99 yang dijadualkan berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Amerika Syarikat pada 14 Mac 2027. Pemilihan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS dengan mengambil kira syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS). Ditulis dan diarahkan oleh Woo Ming Jin, The Fox King mengisahkan dua beradik kembar, Ali dan Amir yang membesar tanpa ibu mereka. Kehadiran Lara, seorang guru Bahasa Inggeris baharu, membawa perubahan kepada kehidupan dan hubungan kedua-duanya. Filem ini menampilkan Idan Aedan, Hadi Putra dan Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama. Terbitan bersama syarikat daripada Malaysia dan Indonesia, filem ini turut menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi melalui FINAS. Terdahulu, The Fox King mengadakan tayangan perdana dunia dalam program Centrepiece di Toronto International Film Festival (TIFF) pada 9 September 2025. Filem ini kemudiannya menyertai beberapa festival filem antarabangsa sehingga 1 Mei 2026, termasuk Busan International Film Festival, Jakarta Film Week, Taipei Golden Horse Film Festival, Singapore International Film Festival, Beijing International Film Festival, Far East Film Festival di Udine serta San Francisco International Film Festival. Kementerian Komunikasi dan FINAS merakamkan tahniah kepada Woo Ming Jin serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi. The Fox King telah mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 17 September 2026. Dikeluarkan oleh: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)
Rabu, November 11

