SIARAN AKHBAR 1: KEBENARAN AKHIRNYA TERSINGKAP
BAGAIMANA KEMELUT PELANTIKAN UNDANG LUAK REMBAU KE-22 BERMULA KEBENARAN AKHIRNYA TERSERLAH
Kronologi Lengkap Pelantikan Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Sedia Raja Haji Hassan bin Haji Ab Hamid Sebagai Undang Luak Rembau Ke-22: Bagaimana Proses Adat Diputarbelit, Disiasat dan Akhirnya Dipulihkan Melalui Penzahiran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Permulaan Sebuah Kemelut Adat
Pelantikan dan kejadian menzahirkan Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Sedia Raja Haji Hassan bin Haji Ab. Hamid sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 pada 27 Jun 2026 bukanlah suatu keputusan yang berlaku secara tiba-tiba. Sebaliknya, ia merupakan kemuncak kepada satu proses adat yang panjang, melalui pelbagai cabaran, bantahan, siasatan dan penelitian yang akhirnya mengembalikan hak sebenar menurut Adat Perpatih.
Keputusan Sah Kerapatan Memilih Kampung Tanjung
Kemelut ini bermula selepas kemangkatan Undang Luak Rembau Ke-21 pada 15 Mei 2024 apabila proses pemilihan pengganti dimulakan mengikut adat. Pada 24 Jun 2024, Kerapatan Buapak Delapan Kampung secara sah memilih Kampung Tanjung sebagai Kampung Benih. Keputusan tersebut kemudiannya dimuktamadkan sekali lagi melalui Kerapatan Kedua pada 2 Julai 2024. Dua keputusan ini dibuat oleh pemegang kuasa adat yang sah menurut amalan turun-temurun Luak Rembau dan tidak pernah dibatalkan melalui mana-mana kerapatan adat yang sah.
Tindakan Unilateral Yang Mencetuskan Krisis
Namun begitu, pada 4 Julai 2024, Mantan Dato’ Perba Haji Abdul Razak bin Haji Yassin telah bertindak secara unilateral dengan mengetepikan keputusan sah kedua-dua kerapatan tersebut. Beliau memperkenalkan tatacara yang dipertikaikan kesahihannya, mengubah fakta keputusan kerapatan dan mengisytiharkan Kampung Pulau sebagai Kampung Benih tanpa perbincangan dan persetujuan Buapak Delapan Kampung. Tindakan tersebut menjadi titik permulaan krisis pelantikan Undang Luak Rembau Ke22 dan telah mencetuskan pertikaian adat yang berpanjangan.
Dua Pemasyhuran Yang Membelah Luak Rembau
Selaras dengan keputusan Kerapatan yang sah, Waris Kampung Tanjung kemudiannya mengadakan kerapatan mereka sendiri dan sebulat suara mencalonkan Haji Hassan bin Haji Ab. Hamid sebagai calon Undang Luak Rembau Ke-22. Walau bagaimanapun, pada 22 Ogos 2024 berlaku dua pemasyhuran berasingan sehingga mewujudkan keadaan yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden Luak Rembau. Haji Hassan bin Haji Ab. Hamid dimasyhurkan mengikut aturan Adat Perpatih dengan sokongan penuh Buapak dan Ibu Soko Delapan Kampung, manakala Haji Abdul Rahim bin Haji Yassin dimasyhurkan melalui proses yang dipertikaikan kerana tidak mendapat sokongan Buapak dan Ibu Soko Delapan Kampung.
Gelombang Bantahan Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris
Sepanjang tahun 2024 hingga 2025, Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris Delapan Kampung telah mengemukakan pelbagai bantahan rasmi kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Kerajaan Negeri. Mereka secara konsisten menegaskan bahawa keputusan Kerapatan Buapak Delapan Kampung Pertama dan Kedua adalah sah, muktamad dan tidak boleh diketepikan oleh mana-mana individu.
Pengabsahan DKU Yang Menimbulkan Pertikaian
Malangnya, pada Persidangan DKU bertarikh 4 Julai 2025, DKU telah mengeluarkan satu surat pengabsahan yang kemudiannya mencetuskan pertikaian. Buapak dan Ibu Soko Delapan Kampung berpendirian bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan fakta yang tidak lengkap serta dipengaruhi oleh gambaran yang mengelirukan mengenai keputusan sebenar Kerapatan Buapak Delapan Kampung, khususnya berkaitan penentuan Kampung Benih. Justeru, keputusan tersebut tidak mencerminkan kedudukan sebenar menurut Adat Perpatih dan telah menjadi antara faktor utama yang memanjangkan kemelut pelantikan Undang Luak Rembau.
Bantahan Membawa Perhatian DKU
Pengabsahan tersebut menerima bantahan yang amat kuat daripada Buapak, Ibu Soko dan anak waris Delapan Kampung yang menegaskan bahawa DKU tidak diberikan gambaran sebenar mengenai perjalanan Kerapatan Pertama dan Kerapatan Kedua. Bantahan yang berterusan ini akhirnya menarik perhatian DKU.
Penubuhan Panel Penyiasatan Bebas
Menyedari wujudnya pertikaian yang serius, satu Panel Penyiasatan Khas yang bebas ditubuhkan bagi menyiasat keseluruhan proses pelantikan Undang Luak Rembau Ke22. Penubuhan panel ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa keputusan pengabsahan pada 4 Julai 2025 bukanlah suatu keputusan yang dianggap muktamad dan masih memerlukan penelitian lanjut.
Siasatan Membongkar Percanggahan Fakta
Sepanjang siasatan tersebut, Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris Delapan Kampung telah memberikan keterangan terperinci serta mengemukakan dokumen-dokumen yang membuktikan bahawa Kampung Tanjung telah dipilih secara sah sebagai Kampung Benih melalui dua Kerapatan yang berasingan. Panel Penyiasatan dikatakan berjaya mengenal pasti percanggahan yang serius dalam fakta-fakta yang sebelum ini dikemukakan kepada DKU, termasuk dakwaan bahawa keputusan Kerapatan telah diputar belit sehingga memberi gambaran yang tidak tepat mengenai proses adat sebenar.
Pembentangan Yang Tidak Kesampaian
Pihak kami dimaklumkan bahawa pada Persidangan DKU pada 5 Mac 2026, Panel Penyiasatan bersedia membentangkan dapatan penuh siasatan tersebut. Antara penemuan penting yang bakal dibentangkan ialah bagaimana keputusan sah Kerapatan Buapak Delapan Kampung Pertama dan Kedua telah dipersembahkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan kepada panel DKU semasa membuat keputusan pengabsahan pada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, pembentangan tersebut tidak dapat diteruskan selepas YTM Dato’ Undang Luak Jelebu, YTM Dato’ Undang Luak Johol dan Mantan YTM Dato’ Undang Luak Sungei Ujong dikatakan meninggalkan persidangan sebelum pembentangan bermula. Keadaan ini menyebabkan dapatan Panel tidak sempat dibentangkan kepada sidang DKU dan sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai usaha untuk menghalang fakta sebenar daripada diketahui.
Proses Adat Diteruskan Mengikut Tertib
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, proses adat akhirnya diteruskan mengikut tertib dan amalan Adat Perpatih. Pada 25 Jun 2026, Kumpulan Dato’-Dato’ adat bersama Buapak Delapan Kampung telah mengadap Tunku Ali Redhauddin di Istana Besar Seri Menanti bagi memohon perkenan menetapkan tarikh Istiadat Menyalang, iaitu istiadat yang menyempurnakan proses pelantikan Undang Luak Rembau. Istiadat Menyalang kemudiannya dilaksanakan pada 26 Jun 2026 mengikut segala tertib dan adat yang diwarisi turun-temurun.
Penzahiran Rasmi Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Sedia Raja Haji Hassan bin Haji Ab. Hamid
Kemuncak kepada keseluruhan proses tersebut ialah pada 27 Jun 2026 apabila DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkenan menyempurnakan Istiadat Menzahirkan Kejadian Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Sedia Raja Haji Hassan bin Haji Ab. Hamid sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 di Istana Besar Seri Menanti.
Istana Memperkenankan, Bukan Memilih
Adalah penting ditegaskan bahawa menurut Adat Perpatih, pemilihan calon Undang Luak Rembau adalah hak dan tanggungjawab Buapak, Ibu Soko serta anak waris yang mempunyai kuasa adat di Luak Rembau. Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Sedia Raja Haji Hassan bin Ab. Hamid telah dipilih melalui proses kerapatan dan pencalonan yang dilaksanakan di peringkat Luak Rembau mengikut adat yang berkuat kuasa. DYMM Yang di-Pertuan Besar tidak memilih calon Undang, sebaliknya memperkenankan dan menyempurnakan penzahiran terhadap calon yang telah dipilih menurut proses adat tersebut. Justeru, Istiadat Menzahirkan Kejadian YTM Undang Luak Rembau yang ke22 pada 27 Jun 2026 merupakan pengesahan dan penyempurnaan kepada keputusan pemilihan yang telah dibuat oleh pemegang-pemegang kuasa adat di Luak Rembau, tanpa sebarang campur tangan Istana dalam menentukan siapa yang dipilih sebagai Undang Luak Rembau.
Kemuncak Sebuah Perjuangan Adat
Istiadat bersejarah tersebut turut disaksikan oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti, YAM Panglima Besar Empat, YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sekali gus menandakan berakhirnya proses pelantikan Undang Luak Rembau Ke-22 mengikut lunas Adat Perpatih.
Hak Adat Akhirnya Dikembalikan
Penzahiran tersebut menamatkan kemelut pelantikan Undang Luak Rembau yang berlarutan lebih dua tahun dan membuktikan bahawa proses adat yang sah akhirnya mengatasi segala percubaan untuk memesongkan fakta. Ia juga mengembalikan hak memilih Undang kepada pemegang kuasa adat yang sebenar, iaitu Buapak, Ibu Soko dan anak waris Delapan Kampung sebagaimana yang diwariskan turun-temurun menurut Adat Perpatih.
“Adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah. Biar mati anak, jangan mati adat.”
Untuk Maklumat Lanjut: YM Dato’ Juan Dato’ Haji Zulkipli bin Haji Shamsudin – Pengerusi Kerapatan Buapak Delapan Kampung Tel: 019-916 0888
Dikeluarkan oleh: Sekretariat Media Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Sedia Raja Haji Hassan bin Haji Ab. Hamid Undang Luak Rembau Ke-22 16 Julai 2026

