KUALA LUMPUR – Menjelang hari bahagia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah membuka ruang kepada orang ramai untuk bersama-sama meraikan perkahwinan mereka menerusi penganjuran Kenduri Rakyat.
Kenduri tersebut akan berlangsung di Muar, Johor pada 25 Oktober, sebelum pasangan berkenaan meneruskan sambutan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.
Syed Saddiq yang merupakan Ahli Parlimen Muar berkata, perancangan kedua-dua majlis resepsi itu dilakukan dalam tempoh yang agak singkat, iaitu kurang daripada dua bulan.
Katanya, keadaan tersebut sedikit sebanyak menimbulkan cabaran terutama dalam soal masa dan mencari lokasi yang bersesuaian untuk mengadakan majlis.
Bercakap mengenai perasaannya menjelang pernikahan pada 10 Oktober 2026 ini, Syed Saddiq berkata dia lebih teruja untuk melalui fasa baharu dalam kehidupan berbanding berasa gementar.
“Saya tak sabar nak menghalalkan hubungan kami,” katanya.
Beliau berkata, perkara yang paling dinantikannya adalah untuk berkongsi detik istimewa itu bersama insan tersayang serta orang ramai yang selama ini memberikan sokongan.
“Perasaan saya lebih kepada tidak sabar berbanding berdebar. Saya tak sabar untuk berkongsi kegembiraan ini bersama keluarga dan sahabat handai.
“Saya sering beritahu bakal isteri bahawa kebahagiaan bukan untuk dinikmati seorang diri, sebaliknya perlu dikongsi bersama semua.
“Tanpa doa, sokongan dan dorongan daripada orang ramai, mungkin perkahwinan ini tidak dapat direalisasikan. Setiap individu mempunyai peranan dalam menjayakan perkahwinan kami,” katanya.

