KUALA LUMPUR: Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya akan ditutup esok susulan keadaan jerebu yang melanda kawasan berkenaan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata penutupan itu turut melibatkan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang di Selangor, serta PPD Kuantan dan Rompin di Pahang.
Bagaimanapun, sekolah di Kuala Lumpur, Labuan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak akan beroperasi seperti biasa.
Menurut beliau, pihak sekolah yang masih beroperasi diminta memantau aktiviti luar berdasarkan keadaan kualiti udara semasa.
Ibu bapa, murid dan warga sekolah turut dinasihatkan supaya memakai pelitup muka yang bersesuaian ketika berada di luar, khususnya di kawasan yang terjejas akibat jerebu.
Selain itu, semua pihak diminta mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini, sambil menjelaskan bahawa sekolah di daerah lain di Selangor dan Pahang yang tidak terlibat dengan penutupan akan beroperasi seperti biasa.

