REMBAU – Institusi kepimpinan adat di Luak Rembau melangkah ke lembaran baharu apabila Istiadat Pemasyhuran YM Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau disempurnakan dengan penuh tertib di Kediaman Rasmi Undang Luak Rembau.
Istiadat yang dipimpin oleh Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Rembau Ke-22, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Hassan bin Haji Ab. Hamid itu turut menghimpunkan barisan Dato’ Adat, Orang Besar Undang, Buapak Delapan Kampung, Ibu Soko, serta para waris bagi memperkukuhkan semula perpaduan masyarakat setempat.
Langkah pemasyhuran ini amat signifikan bagi menutup ruang perbalahan susulan kemelut kepimpinan yang berlarutan sejak 2024 lalu. Berikutan penubuhan Panel Penyiasatan Bebas serta ketetapan rasmi Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada Julai lalu, kedudukan YTM Dato’ Haji Hassan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 telah sah di sisi undang-undang adat dan negeri.
Menerusi sabda sempena istiadat tersebut, YTM mengingatkan agar para penyandang pesaka melihat jawatan yang diamanahkan sebagai tanggungjawab berat untuk menjaga kebajikan anak buah, memelihara keharmonian, serta menjunjung tinggi prinsip muafakat berteraskan Adat Perpatih.
“Sudah tiba masanya semua pihak menghentikan pertikaian lama dan kembali bersatu hati demi masa depan serta kemuliaan Luak Rembau,” titah baginda sambil menyeru agar sebarang perbezaan pandangan diselesaikan menerusi saluran adat yang betul.
Pihak pentadbiran Luak Rembau berharap agar gandingan kepimpinan baharu ini dapat terus memperkasakan pentadbiran adat serta mengeratkan kerjasama erat bersama pihak Kerajaan Negeri demi kesejahteraan bersama.

Sumber: Kenyataan Media Rasmi Pentadbiran Undang Luak Rembau / Laporan Buletin Kini

