KANGAR – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terkorban manakala tiga lagi rakan sejawatnya mengalami kecederaan selepas bot peronda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di perairan Sungai Padang, awal pagi tadi.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang bertugas di Unit Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis. Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta dua orang anak berusia 14 dan 11 tahun.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pasukannya sedang gigih mengejar sebuah bot asing yang mencurigakan dan dipercayai membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar.
Ketika proses pengejaran berlangsung, bot yang dinaiki empat anggota berkenaan dilaporkan terlanggar benteng di pesisir pantai lalu menyebabkan kesemua mereka terlempar ke dalam laut.
Kehilangan Mohd Roshaimi hanya disedari sejurus rakan sejawat membuat semakan semula jumlah anggota selepas kejadian. Operasi pencarian segera dilancarkan sebelum jasad mangsa berjaya ditemui kira-kira sejam kemudian.
Tiga lagi anggota yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan. Kejadian tragis ini sekali lagi membuktikan risiko tinggi serta cabaran nyawa yang perlu dihadapi oleh setiap petugas penguat kuasa keselamatan semasa mempertahan dan mengawal pintu masuk perairan negara.
Laporan: BuletinKini.com.my

