PUTRAJAYA – Seorang pelajar latihan industri yang sedang menjalani penempatan di Bahagian Cukai Dalam Negeri (CDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) dilaporkan berada dalam keadaan sangat kritikal selepas mengalami insiden tercekik makanan.
Kejadian kecemasan kesihatan itu berlaku ketika pelajar berkenaan dilaporkan sedang menikmati kuih tradisional buah Melaka atau onde-onde.
Susulan insiden mencemaskan tersebut, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan bantuan kecemasan dengan segera.
Berdasarkan makluman dalaman terkini jabatan berkenaan, pelajar tersebut kini ditempatkan di Zon Kritikal Hospital Putrajaya untuk menjalani pemantauan rapi serta rawatan perubatan lanjut oleh pasukan pakar perubatan.
Pegawai perubatan yang merawat mangsa memaklumkan bahawa keadaan pelajar berkenaan kini berada pada tahap sangat kritikal dan memerlukan perhatian perubatan sepenuhnya.
Sehubungan itu, seluruh warga kerja jabatan serta orang ramai dimohon untuk bersama-sama mendoakan agar pelajar berkenaan diberikan kekuatan serta dikurniakan kesembuhan segera daripada dugaan yang menimpa.
Laporan: BuletinKini

