KUALA LUMPUR: Jerebu terus menjejaskan negara apabila 38 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 1 tengah hari ini, ketika kebakaran hutan dan tanah di Indonesia masih berterusan.
Berdasarkan Sistem Informasi Deteksi Dini Pengendalian Kebakaran Hutan dan Lahan (SiPongi), Kalimantan Tengah mencatatkan 225 titik panas daripada enam wilayah keutamaan. Ia diikuti Sumatera Selatan dengan 224 titik, Kalimantan Barat (47), Kalimantan Selatan (31) dan Jambi (16), manakala Riau tidak mencatatkan sebarang titik panas.
Kementerian berkenaan menjelaskan bahawa titik panas merujuk kepada petunjuk anomali suhu permukaan yang dikesan melalui satelit dan tidak boleh dianggap secara langsung sebagai jumlah kejadian kebakaran atau keluasan kawasan yang terbakar.
Pada masa yang sama, kerajaan Indonesia mengekalkan 61 unit udara dalam keadaan siap siaga, terdiri daripada 17 unit untuk rondaan dan operasi pengubahsuaian cuaca, manakala 44 unit digunakan bagi operasi pengeboman air.
Menurut Kementerian Perhutanan Indonesia, operasi di darat yang melibatkan pemadaman kebakaran, pembinaan penghalang api, serta pembasahan dan penyejukan tanah gambut masih diteruskan bagi mengelakkan kebakaran daripada berlaku semula.
Operasi tersebut turut memberi tumpuan kepada kawasan tanah gambut, kerana bara api boleh terus berada dan merebak di bawah permukaan walaupun api sudah tidak kelihatan.
Sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan bahawa kepulan asap daripada kelompok titik panas di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera menyumbang kepada keadaan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, semua sekolah di Johor ditutup selama dua hari bermula hari ini susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri.
Penutupan sekolah itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, sementara sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
Sementara itu, Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni, berkata kementeriannya komited untuk meningkatkan kekuatan polis hutan negara itu secara berperingkat, daripada kira-kira 4,500 anggota ketika ini kepada 70,000 anggota dalam tempoh tiga hingga empat tahun, seperti yang diumumkan Presiden Prabowo Subianto.
Katanya, bagi Kementerian Perhutanan, pengukuhan polis hutan amat penting untuk meningkatkan pemantauan dan perlindungan kawasan hutan, termasuk daripada ancaman pencerobohan serta kebakaran hutan.

