KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2026 – Kerajaan Malaysia merancang untuk mendedahkan maklumat berkaitan kontrak kerajaan secara terbuka kepada umum bermula tahun 2027. Langkah strategik ini diambil bagi meningkatkan ketepatan, kecekapan, serta ketelusan dalam pengurusan perbelanjaan awam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa pendedahan maklumat tersebut akan merangkumi butiran terperinci seperti nama syarikat kontraktor yang dilantik, nilai keseluruhan kontrak, kos sebenar projek, serta status perkembangan semasa pelaksanaannya. Lebih menarik, orang ramai juga akan diberikan akses untuk mengetahui alasan dan rasional di sebalik pemelihan sesebuah syarikat berbanding syarikat-syarikat lain yang turut bersaing dalam proses tender berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif ketelusan ini merangkumi pelbagai projek pembangunan infrastruktur awam utama, termasuk pembinaan sekolah, hospital, universiti, serta rangkaian jalan raya. Pendedahan maklumat ini bertujuan untuk memastikan setiap ringgit wang rakyat yang dibelanjakan dapat dipantau secara lebih terbuka, beretika, dan bertanggungjawab.
Pengumuman penting tersebut disampaikan oleh beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 yang berlangsung pada 11 Oktober 2026.
Usaha berterusan ini adalah selari dengan pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan yang mempunyai punca kuasa yang mantap dan tegas berkuat kuasa pada tahun 2027. Melalui pendekatan ini, kerajaan berharap dapat memperkukuh tadbir urus perkhidmatan awam sekali gus membendung isu ketirisan serta pembaziran dalam perbelanjaan negara.
Pelaksanaan inisiatif ini secara keseluruhannya dijangka bakal memberikan ruang dan hak kepada ahli masyarakat untuk mengakses maklumat projek awam dengan mudah, seterusnya membolehkan rakyat memainkan peranan aktif sebagai pemantau terhadap pelbagai pembangunan di kawasan masing-masing.

