Petaling Jaya, 18 Oktober – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengingatkan barisan kepimpinan serta pimpinan gerakan koperasi di seluruh negara agar sentiasa memelihara integriti dan menjaga kepercayaan yang diberikan oleh para anggota.
Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) menyatakan bahawa pembudayaan integriti merupakan tonggak utama dalam menguruskan lebih 16,300 koperasi di Malaysia bagi memastikan kestabilan serta daya saing sektor berkenaan. Beliau menegaskan bahawa penekanan terhadap amalan integriti perlu merangkumi tiga peringkat utama organisasi, bermula daripada pihak pengurusan yang wajib mempamerkan integriti tertinggi dalam urusan harian kerana mandat serta kepercayaan telah diamanahkan oleh anggota.
Selain pihak pengurusan, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang mencorakkan hala tuju strategik organisasi turut dituntut mempunyai integriti yang tinggi. Beliau menjelaskan bahawa sekiranya integriti berpecah dan keputusan dibuat secara berandai-andai kepada perkara yang tidak sesuai dari segi perniagaan, maka keputusan yang terhasil boleh dipertikaikan integritinya. Pada masa yang sama, integriti turut dituntut dalam kalangan anggota koperasi itu sendiri menerusi sokongan padu kepada perniagaan organisasi, di samping menggunakan saluran dalaman yang betul dan mengelakkan diri daripada memburuk-burukkan koperasi sekiranya timbul sebarang isu. Tambah beliau lagi, pendekatan ini selari dengan iltizam kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang amat menekankan isu integriti di semua jabatan, kementerian, agensi kerajaan, dan gerakan koperasi.
Mengulas mengenai aspek kawal selia, Datuk Ahmad Norihan menjelaskan bahawa SKM memikul dua tanggungjawab utama yang perlu ditimbang secara saksama, iaitu tata kelola (termasuk integriti) dan perkembangan koperasi. Pihak pengurusan tertinggi SKM sentiasa memandang serius isu berkenaan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665) atau Akta Koperasi 1993 (Akta 502) sekiranya berlaku ketidakpatuhan. Jika isu atau salah laku didapati melebihi bidang kuasa kedua-dua akta tersebut, SKM bersedia merujuk kes kepada pihak ketiga seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Kejohanan Golf “Tee 2 Green 2026 Piala Pengerusi SKM” bertempat di Kelab Golf Seri Selangor. Kejohanan anjuran Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan dengan kerjasama SKM dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) itu berjaya menghimpunkan 120 peserta daripada 27 gabungan koperasi dan agensi dari seluruh negara, termasuk perwakilan dari Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, hingga ke Sabah. Kejohanan yang turut diseri dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Tuan Haji Marzuki Yasoa’ itu bertujuan menyediakan platform perangkaian strategik, memantapkan kerjasama inter-koperasi, serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan pimpinan gerakan koperasi.


