SEREMBAN — Syarikat pemasaran media milik 100 peratus Bumiputera, Zahara Media Sdn Bhd, melakar sejarah penting apabila billboard digital pertamanya di Seremban Gateway mula beroperasi secara rasmi pada 29 Oktober 2026, sekali gus menandakan pencapaian utama syarikat sejak penubuhannya pada Julai 2025.
Menerusi pelaburan awal sebanyak RM1 juta bagi menampung kos pembangunan serta pengurusan awal, Zahara Media kini menyasarkan pembangunan 10 billboard digital dalam tempoh tiga tahun akan datang, selain merancang untuk memperluas operasinya ke negeri-negeri lain.
Pemilihan Seremban Gateway disifatkan amat strategik memandangkan lokasi tersebut merupakan sebahagian daripada pintu masuk utama ke Seremban yang berdekatan dengan kawasan pembangunan pesat seperti Seremban 2 dan Sendayan, serta berada dalam lingkungan kawasan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV).
Faktor perkembangan pesat sektor kediaman, komersial, dan ekonomi di sekitar Seremban ini memberi kelebihan kepada pengiklan yang ingin menyampaikan mesej dan identiti jenama secara berkesan di kawasan yang bersesuaian dengan sasaran pasaran masing-masing.
Pengarah Urusan Zahara Media Sdn Bhd, Alias Mohammed, berkata keputusan untuk menceburi industri pengiklanan luar merupakan satu cabaran besar bagi syarikat baharu untuk membina keupayaan operasi dan kedudukan dalam pasaran yang didominasi pemain berpengalaman. Walau bagaimanapun, pengalaman beliau selama 20 tahun dalam bidang perniagaan menjadi asas keyakinan untuk membawa syarikat bersaing dan terus berkembang secara berperingkat.
Beliau menambah bahawa pengoperasian di Seremban Gateway ini menjadi titik permulaan kepada perancangan membina rangkaian pengiklanan yang berdaya saing. Sasaran pertumbuhan jangka sederhana bagi membina 10 billboard digital ini akan dilaksanakan secara berhemah mengikut perkembangan perniagaan, peluang pasaran, kesesuaian lokasi, dan kelulusan pihak berkuasa, sekali gus merealisasikan aspirasi syarikat untuk memperkukuh kehadirannya dalam industri pemasaran media di Malaysia.

Laporan: BuletinKini

