KUALA LUMPUR – Gaya hidup sihat dan semangat kesukanan terus menjadi platform terbaik dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi perbankan dan rakan media tempatan. Menerusi penganjuran Pertandingan Pickleball Co-opbank Pertama (CBP) Bersama Media 2026 di Premier KL Pickleball, Taman Setiawangsa, semalam, puluhan pengamal media dan wakil CBP berhimpun dalam suasana santai penuh keharmonian.
Ketua Jabatan Pengurusan Strategik (SMD) CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said berkata, kejohanan tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan mendalam pihak bank terhadap peranan berterusan media tempatan. Menurut beliau, pengamal media memainkan peranan amat penting dalam menyampaikan maklumat tepat serta menyebar luas liputan aktiviti dan inisiatif CBP kepada masyarakat.
“Sokongan padu dan liputan menyeluruh yang diberikan rakan media kepada CBP selama ini adalah satu sumbangan bermakna dalam mengetengahkan usaha, perkembangan serta pencapaian kami,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, aktiviti sukan seperti ini menjadi ruang dan platform mesra bagi warga CBP dan media berkumpul di luar urusan rasmi bagi memberi peluang untuk saling berinteraksi sambil mengeratkan silaturahim yang sedia terjalin.
Pertandingan yang penuh sengit namun harmoni itu menyaksikan penyertaan sebanyak 36 pasukan beregu, merangkumi 20 pasukan beregu lelaki dan 16 pasukan beregu wanita. Penganjuran kejohanan Pickleball ini merupakan kesinambungan Karnival Sukan CBP Bersama Media yang diadakan secara tahunan, di mana acara boling dan bola sepak pernah dianjurkan sebelum ini.
Mengulas mengenai pemilihan Pickleball, Syaiful Arief Syah menjelaskan bahawa sukan tersebut dipilih kerana ia kini menjadi trend aktiviti fizikal yang popular dan kian diminati pelbagai lapisan masyarakat sama ada dalam kalangan lelaki mahupun wanita. Apa yang lebih penting, aktiviti riadah seumpama itu menggalakkan semua pihak mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.

