KUALA LUMPUR: Tambang perjalanan menggunakan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi laluan Gombak-Kota Bharu ditetapkan bermula RM125 untuk perkhidmatan Transit Kelas Ekonomi. Perkhidmatan kereta api itu dijangka memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini.
Menurut kenyataan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), kerajaan telah memberikan kelulusan terhadap cadangan struktur tambang ECRL pada 16 Oktober lalu. Penetapan harga tiket berkenaan dibuat berdasarkan mekanisme harga dinamik.
Bagi perjalanan Ekspres antara Gombak dan Kota Bharu yang merangkumi jarak 523 kilometer, harga tiket ditawarkan bermula RM147.
Penumpang yang memilih perkhidmatan Transit pula boleh menikmati tambang bermula RM95 bagi perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu, manakala perjalanan ke KotaSAS bermula RM60.
Untuk perkhidmatan Ekspres, tambang bagi laluan Gombak-Kuala Terengganu bermula RM110, sementara perjalanan dari Gombak ke KotaSAS ditawarkan pada harga bermula RM68.

