KUALA LUMPUR – Terung asam atau lebih dikenali sebagai terung Dayak yang sinonim dengan masyarakat di Sarawak kini melangkah jauh ke hadapan menerusi inisiatif penyelidikan saintifik moden.
Hasil usaha dan kepakaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), hasil pertanian unik ini berjaya dikomersialkan menerusi produk kesihatan cecair dikenali sebagai Terungold, membuktikan bagaimana sinergi antara sains dan industri mampu mengubah sumber tempatan menjadi produk bernilai tinggi.
Penyelamatan Perniagaan dan Kolaborasi Strategik Bersama Nusanutra
Di sebalik kejayaan produk ini, ia merupakan hasil kerjasama strategik antara penyelidik MARDI di bawah pimpinan Dr. Zuraida Ab Rahman dari Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI dengan syarikat tempatan, Nusanutra Sdn. Bhd.
Pengarah Nusanutra, Ahmad Zahin Ilman mendedahkan bahawa keputusan mengambil alih teknologi Terungold pada penghujung tahun 2021 merupakan satu perjudian besar buat syarikat pengeluaran OEM mereka yang ketika itu berdepan dilema perniagaan.

“Kami mengambil risiko melaburkan baki simpanan syarikat ke dalam teknologi MARDI, dan Alhamdulillah, langkah ini berjaya menyelamatkan serta mengembangkan perniagaan kami,” ujar beliau.
Kajian terperinci MARDI mendapati terung asam mengandungi sebatian aktif yang berpotensi tinggi membantu pengurusan berat badan secara berkesan, sekali gus menjadi asas saintifik yang kukuh kepada penghasilan Terungold dalam bentuk cecair mesra pengguna.
Prosedur Pemindahan Teknologi yang Tersendiri
Bagi usahawan yang berminat menceburi bidang pengkomersialan hasil R&D, Ahmad Zahin berkongsi bahawa proses tersebut bermula dengan pengemukaan Surat Hasrat (LOI) kepada MARDI.
Ia diikuti dengan Perjanjian Kerahsiaan (NDA) bagi membolehkan kedua-dua pihak menilai kebolehlaksanaan komersial, bekalan bahan mentah, serta strategi pasaran secara telus sebelum perjanjian pengkomersialan dimeterai dalam tempoh enam hingga lapan bulan.
Selain itu, pihak MARDI tidak hanya melepaskan hak teknologi begitu sahaja, sebaliknya memberikan sokongan pemindahan teknikal selama sembilan bulan. Bimbingan secara langsung termasuk lawatan pakar ke kilang turut membantu pihak industri menyesuaikan kaedah makmal kepada skala pembuatan sebenar.

Menangani Cabaran Rantaian Bekalan dan Logistik
Cabaran utama dalam penghasilan Terungold ialah jurang logistik kerana bahan mentah segar banyak diperoleh dari Sarawak, manakala operasi kilang terletak di Klang, Selangor.
Bagi mengatasi isu buah mudah rosak ini, penyelidik MARDI mencadangkan agar terung asam diproses terlebih dahulu menjadi bentuk serbuk di Sarawak sebelum dihantar ke Semenanjung. Usaha ini turut memperkasakan ekonomi komuniti tempatan menerusi pembukaan pusat pemprosesan di Tebedu dan Serian serta pelaksanaan pertanian kontrak bersama petani.
Menutup bicara, Ahmad Zahin menyarankan agar usahawan PKS tidak teragak-agak memanfaatkan hasil kajian institusi penyelidikan tempatan memandangkan pengguna masa kini jauh lebih bijak dan menuntut produk yang mempunyai pengesahan saintifik yang selamat.

Laporan: BuletinKini

