8 OKTOBER 2026 – KENYATAAN MEDIA
JPNS JUNJUNG TITAH KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG, UTAMAKAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN MURID SERTA WARGA PENDIDIKAN SUSULAN KEADAAN JEREBU
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keselamatan dan Kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda di negara ini.
Selaras dengan Kenyataan Media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 8 Oktober 2026, semua institusi pendidikan bawah KPM di Negeri Sembilan ditutup mulai Jumaat, 9 Oktober 2026. Ketetapan ini dibuat berdasarkan catatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga stesen pemantauan di Negeri Sembilan, iaitu Port Dickson, Seremban dan Nilai, setakat jam 5.00 petang, 8 Oktober 2026.
Institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid, dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru. Berdasarkan pertimbangan YB Menteri Pendidikan, guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan.
JPNS bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan dan ketetapan yang ditetapkan oleh KPM. JPNS turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta memberikan kerjasama bagi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh keadaan jerebu ini.
Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan JPNS.
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SEMBILAN

